Monday, 13 October 2014

Perbezaan sahifah madinah dengan perlembagaan Malaysia


Terbaca dalam Utuse Malaysiam, satu ungkapan bahawa perlembagaan Malaysia adalah sesuai dengan Piagam Madinah, hati kecil meronta untuk gelak dan juga kecewa dengan karenah-karenah pemimpin negara. Saya tahu mereka semua ini faham bahasa Inggeris, mereka faham tentang penggunaan analogi yang salah. Mereke juga faham dengan pepatah rakyat Kelantan yang popular iaitu “Comparing apples and oranges”.  Walaupun mereka tidak mengaji ilmu Fiqh tentang hukum hakam Qiyas, kalau yang mengaji aliran agama mereka faham akan istilah hukum Qiyas Maal Fariq (iaitu membandingkan satu perkara yang tidak sama darjatnya). 

APOR=Islam + Kufur

Jadi apa yang mereka analogikan disitu? Mereka menganalogikan bahawa dalam perlembagaan Malaysia ada konsep perpaduan kaum dan Piagam Madinah ada konsep perpaduan kaum. Jadi dengan mudahnya mereka membuat kesimpulan bahawa Perlembagaan Malaysia sesuai dengan Piagam Madinah? Terlalu simplistik.  Hahaha….

Kerbau Pendek Tak Sama Dengan Kerbau

Mari kita kembangkan sedikit pemikiran cetek ini dengan kiasan yang lain. Kita lihat seekor khinzir dan seekor kerbau, kalau dilihat dari segi perbezaannya memang nampak dan kalau dilihat dari segi persamaannya memang banyak. Orang-orang pedalaman UK (Ulu Kelantan bukan United Kingdom) menamakan Khinzir ini sebagai ‘Kerbau Pendek’.  Jadi mari kita cari persamaan antara kerbau pendek dengan kerbau sejati.  Maka berhimpunlah pakar-pakar zoologi mencari persamaannya, iaitu ia ada kaki 4, ada ekor, ada 2 mata, ada 2 telinga. Memandangkan banyak persamaannya antara kerbau pendek dan kerbau, maka kita buat kesimpulan bahawa Kerbau Pendek @ BABI ini sama atau setara dengan kerbau. Hahahaha… 
Selalunya puak-puak yang sering membandingkan apel dan oren ini mereka hanya lihat dari satu sudut sahaja, iaitu dari satu sudut persamaannya. Kemudian mereka gabungkan antara kedua-dua yang sama itu. Jadilah APOR. 

Sekarang kita dedahkan sedikit perbezaannya untuk sama-sama kita melihat dengan lebih jitu lagi. Supaya hilanglah sifat rabun, pekak dan bisu. 
Siapakah pengasas perlembagaan Malaysia?
Perlembagaan ini telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Perlembagaan berkenaan berkuatkuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957. (sumber wikipedia)
Apakah sumber hukum tertinggi dalam Perlembagaan Malaysia?
Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang yang terbit. Siapa yang memperkenankan? Jawablah sendiri...
Perkara 4. (1)Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

Sekarang kita lihat pula Piagam Madinah 622M
Siapa yang mengasaskannya?
Rasulullah SAW
Apakah sumber hukum tertinggi, dan siapa yang memperkenankan?


"وإنكم مهما اختلفتم فيه من شيء فإن مرده إلى الله عز وجلوإلى محمد... "وإنه ما كان بين أهل هذه الصحيفة من حدث أو اشتجار يخاف فساده فإن مردَّه إلى الله، وإلى محمد رسول الله، وإن الله على أتقى ما في هذه الصحيفة وأبره"

Bahawa apa sahaja perselisihan dalamnya maka pengembaliannya kepada Allah Azawjalla dan kepada Muhamad.  Atau apa juga pertengkaran di antara sesama pihak yang setuju dengan piagam ini jika dikhuatiri membawa bencana maka hendaklah dirujukkan kepada hukum Allah dan kepada penyelesaian oleh Muhammad pesuruh Allah, Allah menyaksikan kebaikan isi kandungan piagam ini dan merestuinya

ابن سيد الناس : عيون الأثر 1/261، وابن كثير: السيرة النبوية 2/ 322، ابن هشام : السيرة النبوية 1/ 503

Itulah sedikit sebanyak berkenaan dengan perlembagaan Malaysia dengan Piagam Madinah. Akhirnya mereka cantumkan apa yang ada dalam Islam dan apa yang bersumberkan dari Barat. Kemudian mereka ikat dengan tali. Lihatlah wajah Islam yang mereka terangkan kepada kita...lihat buah APOR di atas.

Apakah anda masih mahu samakan antara kerbau pendek dengan kerbau?

(Rohani Siniru)

Wednesday, 8 October 2014



Piagam Madinah telah digubal oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622M bersamaan tahun pertama Hijrah, merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia. Kandungan piagam ini terdiri daripada 47 fasal kesemuanya. 23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin, manakala 24 fasal yang bakinya membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan bukan Islam. Selain piagam Madinah, ia juga dikenali dengan pelbagai nama saperti perjanjian Madinah, Dustar al-Madinah dan juga Sahifah al-Madinah. Selain itu piagam Madinah juga boleh dikaitkan dengan perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk peraturan- peraturan yang berasaskan Syariat Islam bagi membentuk sebuah Negara Islam tulen yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa, kaum dan agama.

Kandungan piagam madinah boleh dilihat disini . Yang paling utama di dalam pengisiannya adalah setiap tindakan mengikut Al-Quran dan Sunnah. Secara keseluruhan pengisian piagam Madinah yang digubal oleh baginda Nabi Muhammad saw telah menekankan perpaduan dan penyatuan ummah di Madinah ketika itu yang terdiri dari masyarakat Islam, kaum Ansar dan Muhajirin serta Yahudi dan Bangsa lain. Ini menunjukkkan betapa pentingnya pengukuhan perpaduan masyarakat yang perlu disemat dalam pemerintahan sesebuah negara Islam walaupun tidak melabelkan perkataan ‘Islam’ dalam setiap tindakannya. Ini terbukti apabila baginda Nabi Muhammad saw sendiri kurang menggunakan perkataan Islam dalam piagamnya tetapi lebih kepada perbuatan yang menjurus kearah syariat Islam itu sendiri. Justru baginda menamakan Kota Madinah sebagai Madinatul Munawarrah dan bukannya negara Islam Madinah. Prinsip ini diteruskan sehinggalah ke akhir pemerintahan khalifah Uthmaniyah. Penggunaan negara Islam hanya bermula apabila wujud sebuah negara yang dinamakan Republik Islam Iran yang majoriti masyarakatnya berpaksikan kepada fahaman syiah.

Jika dibandingkan Perlembagaan Madinah ini dengan Perlembagaan Malaysia yang digubal oleh kepimpinan UMNO terdahulu adalah seiring pembentukan perlembagaan Madinah oleh baginda Nabi Muhammad saw. Di dalam perlembagaan persekutuan Malaysia perkara yang paling utama adalah status agama Islam sebagai agama persekutuan dan YDP Agong yang dipilih oleh 9 kesultanan Melayu adalah pemerintah tertinggi sebagai Ketua Negara dan Agama. Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan agama-agama lain boleh diamalkan sepertimana dalam piagam Madinah.

Pada hari ini konsep 1 Malaysia yang dipelopori oleh Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Haji Abdul Razak adalah sama dengan fasal 2 piagam madinah iaitu bahawa mereka ini adalah satu umat”. Konsep perpaduan ini telah menjadi agenda utama negara Malaysia pada hari ini yang diperjuangkan oleh UMNO. Ini bertujuan untuk memastikan rakyat Malaysia hidup dalam suasana aman dan harmoni secara berkompromi walaupun berbeza kaum, agama dan pegangan. Dengan itu terbentuklah satu komuniti kekeluargaan yang besar yang berbilang kaum dan agama tanpa perselisihan yang ketara. Perpaduan ini terbukti berjaya diamalkan oleh Ummat Islam terdahulu.

Selama lebih 66 tahun UMNO telah mempertahankan prinsip ini dan juga memperjuangkan kepentingan orang Melayu seperti dalam perlembagaannya. Secara tidak langsung definisi Melayu di dalam Perlembagaan Malaysia adalah mesti beragama Islam, mengamalkan budaya melayu dan berbahasa Melayu. Proses ini telah menyebabkan Melayu itu terdiri daripada pelbagai keturunan seperti keturunan Cina, Arab, India, Portugis, Jawa dan berbagai keturunan yang lain di dunia. Betapa besarnya perpaduan dan penyatuan umat dan keturunan Islam yang selama ini diperjuangkan UMNO. Sama seperti penyatuan keturunan dan bangsa di Madinah yang menggandingkan kaum-kaum Muhajirin dan Ansar yang beragama Islam terdiri dari pelbagai kaum dan keturunan. Manakala yang bukan beragama Islam dikelompokkan dalam satu kelompok yang dipanggil 'Bani' seperti Bani Auf, Bani Amru dan lain-lain yang boleh meneruskan pegangan lama mereka. Sama seperti UMNO, MCA, MIC dan lain-lain. Namun begitu UMNO tidak pernah melabelkan partinya sebagai parti Islam tetapi tetap mempertahankan syariat Islam sebagaimana termaktub dalam perlembagaan Malaysia yang berasaskan piagam Madinah.



- SITI AMIRAH HAZIQAH BINTI RAHIM -